[ English | B. Malaysia | Home | Sitemap | Contact Us | Login ]   
    » Home » ACTIVITIES » Press Release » UTUSAN MALAYSIA - 1/3/2010

  Conserving Wetlands

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my

 

Sebahagian pelajar dan guru SMK Teloi Kanan, Kuala Ketil, Kedah dan SMK Batu Kawan, Pulau Pinang yang menyertai program Hari Tanah Lembap melakukan aktiviti menanam bakau di kawasan paya laut Kuala Gula, Kerian, baru-baru ini.

KERIAN 28 Feb. – Setiap tahun, Hari Tanah Lembap Sedunia atau World Wetlands Day (WWD) akan disambut di seluruh dunia dengan penganjuran pelbagai kempen dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap nilai dan manfaat tanah lembap yang terdiri daripada pelbagai keadaan seperti hutan paya laut, tasik, sungai dan hutan tanah gambut.

Baru-baru ini, Global Environment Centre (GEC), sebuah pertubuhan yang mengambil berat soal penjagaan alam sekitar dengan kerjasama CIMB Community Link, telah meraikannya dengan cara tersendiri.

Bertempat di hutan paya laut Kuala Gula, kedua-dua pihak ini bekerjasama melaksanakan tanggungjawab sosialnya mengendalikan program kesedaran terhadap memulihara tanah lembap di kawasan itu.

Dengan tema ‘Hargai Tanah Lembap-Penyelesaian kepada Perubahan Iklim, para peserta dan semua yang hadir bergotong-royong menanam kira-kira 10,000 pokok bakau di sepanjang kawasan hutan terbabit.

Mereka terdiri daripada komuniti nelayan yang mewakili Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula selain 200 pelajar termasuk 60 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan Kuala Ketil, Kedah.

Tidak ketinggalan dalam program dua hari itu ialah pelajar SMK Batu Kawan dan Kolej INTI Antarabangsa, Pulau Pinang serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Gula dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Hwa.

Hakikatnya, seiring dengan kedudukannya, Kuala Gula yang terkenal sebagai pusat eko-pelancongan bukan sahaja perlu dibangunkan malah dipelihara bagi membantu meningkatkan industri pelancongan negeri.

Kuala Gula yang mempunyai pelbagai jenis habitat tanah lembap yang terdiri daripada dataran lumpur, hutan paya bakau, muara sungai dan sistem-sistem sungai terletak di lokasi paling utara hutan Simpan Paya Bakau Larut-Matang di Daerah Kerian, Perak.

Kedudukannya lebih kurang 50 kilometer (km) ke barat Taiping, 126 km ke barat-laut Ipoh dan 80 km ke selatan dari Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang pegawai GEC, Balu Perumal berkata, penyertaan banyak pihak dalam program itu membuktikan masyarakat semakin sedar tentang kepentingan menjaga kestabilan tanah lembap.

‘‘Program seperti ini perlu dilakukan berterusan dalam memberi kesedaran terhadap pemuliharaan dan kepentingan tanah lembap,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, program itu mampu meningkatkan kefahaman masyarakat dan pelajar tentang ekosistem hutan paya laut khususnya di Kuala Gula.

Tambahnya, antara aktiviti lain yang diadakan sempena program itu ialah lawatan ke tapak semaian pokok bakau, kajian kualiti air, gotong-royong membersihkan kawasan paya dan tayangan slide tentang ekosistem hutan paya laut serta pertandingan penulisan kreatif.

Dalam pada itu, beliau turut berbangga dengan usaha berterusan SMK Teloi Kanan Kuala Ketil di setiap program anjurannya termasuk langkah pemuliharaan hutan paya laut melalui penanaman pokok bakau.

‘‘Kita berbangga walaupun sekolah ini adalah sekolah felda, namun mereka menunjukkan tanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar, diharap sekolah lain akan mencontohi sekolah ini,” ujarnya.



Print Friendly