[ English | B. Malaysia | Home | Sitemap | Contact Us | Login ]   
    » Home » ACTIVITIES » Press Release » UTUSAN MALAYSIA - 27/4/2009

  IWA puji pelajar Malaysia

THE HAGUE (Belanda) 26 April - Pertubuhan Air Antarabangsa (IWA) memuji kesungguhan pelajar Malaysia yang terlibat dalam membantu menyedarkan seluruh masyarakat dunia dalam penjagaan kualiti air.

Pengarah Pembangunan IWA Belanda, Darren Saywell berkata, penyertaan pelajar Malaysia dalam aktiviti dan kajian mengenai kualiti air itu amat dikagumi mereka.

"Memang mereka layak untuk mendapat pengiktirafan dunia," katanya ketika menyambut kunjungan tiga pelajar Malaysia yang memenangi tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Finland minggu lalu.

Kunjungan ke pejabat IWA yang berpangkalan di sini adalah atas jemputan pihak berkenaan yang mengetahui tentang perkembangan ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan, Baling, Kedah itu yang dikagumi pelbagai pihak selepas memperoleh kejayaan di Finland.

Darren berharap kejayaan pelajar Malaysia itu akan membuka ruang untuk negara ini bersama-sama IWA mewujudkan persefahaman mengenai kajian kualiti air ke peringkat lebih jauh.

"Kami berharap kejayaan pelajar dari Malaysia ini membuka ruang persefahaman mengenai kajian air," tambahnya.

Ketiga-tiga pelajar terbabit ialah Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Muhammad Fazrel Ashraf Azizan, 15, dan Som Jud Muniandy, 16, yang diiringi tiga guru mereka diketuai, S. Kalaimani.

Dalam pada itu, Darren bersama dua pegawai program pembangunannya, Frances Lucraft dan Ase Johannessen turut mendengar pembentangan kertas kerja mengenai kajian kualiti air yang disampaikan oleh salah seorang pelajar, Som Jud.

Sebelum itu, ketiga-tiga pelajar Malaysia bersama pegawai IWA turut mengadakan satu kajian kualiti air di sungai berdekatan bandar ini.

Pada masa yang sama, IWA turut menjemput penyertaan pelajar Malaysia ke Minggu Air Antarabangsa yang bakal diadakan di Singapura pada awal Jun ini.

Sementara itu, kesemua pelajar dan guru yang mengadakan siri kunjungan ke beberapa negara selepas berakhirnya festival di Finland minggu lalu mengakhiri lawatan mereka kelmarin. - Utusan

 


 

MKFC-SMK Teloi Kanan mahu jalin kerjasama

 

STOCKHOLM (Sweden) 26 April - Sebuah kolej yang menjalankan sistem pembelajaran secara elektronik, Kolej MKFC di sini berminat menjalinkan hubungan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan di Baling dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran terhadap alam sekitar.

Kerjasama itu dirancang selepas tiga pelajar sekolah tersebut membuat persembahan kertas kerja mengenai penanaman pokok, perubahan cuaca dan kajian kualiti air di kolej berkenaan semalam.


Presiden kolej berkenaan, Thord Fjellstrom berkata, pihaknya gembira dan yakin dengan kemampuan pelajar Malaysia dalam aktiviti alam sekitar. "Kami terpegun dengan persembahan pelajar terbabit khususnya mengenai alam sekitar," katanya ketika ditemui selepas pembentangan kertas kerja oleh tiga pelajar berkenaan di sini baru-baru ini.


Berikutan itu katanya, Kolej MKFC akan bekerjasama dengan SMK Teloi Kanan di dalam program E-learning berhubung pendidikan alam sekitar dan juga dengan komuniti Sahabat Hutan Bakau (SHB) Kuala Gula di Perak.


MKFC adalah kolej yang menjalankan sistem pembelajaran secara elektronik  (E-learning) melibatkan sehingga 1,000 pelajar setiap tahun dari seluruh dunia.


Menurut Thord, kehadiran ketiga-tiga pelajar terlibat iaitu Mohd. Khairul Effendi Che wan, 17, Som Jud a/l Mununiady, 16, dan Muhammad Fazrel Ashraf, 15, ke kolej berkenaan, sekurang-kurangnya dapat mendedahkan mereka dengan pembelajaran yang terdapat di kolej itu.Pelajar terlibat minggu lalu menggondol tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Joensuu, Finland dan ekoran itu mereka dijemput pula ke Sweden.


Sementara itu, dalam satu majlis berasingan, pelajar terlibat turut menerima penghargaan daripada salah sebuah badan antarabangsa iaitu Life Link Friendship School yang berpusat di bandar Uppsala kira-kira 60 kilometer dari sini sebagai menghargai peranan mereka dalam menjaga alam sekitar.


Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Life Link Dunia, Dr. Hans Lavender.

 

 

 



Print Friendly