[ English | B. Malaysia | Home | Sitemap | Contact Us | Login ]   
    » Home » ACTIVITIES » Press Release » UTUSAN MALAYSIA - 26/04/2009

  Kepulangan tiga wira
 
MOHD. Khairul Effendi Che Wan (dua kanan), Muhamad Fazrel Ashraf Azizan (tiga kiri) dan Som Jud a/l Muniandy disambut meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, semalam.  

PULAU PINANG 25 April - Kepulangan tiga pelajar yang mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Helsinki, Finland, disambut sebagai wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka yang merupakan anak peneroka dari Baling, Kedah iaitu Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17, Som Jud Muniandy, 16 dan Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15, disambut meriah sambil diiringi persembahan muzik tradisional kira-kira pada pukul 10 pagi.

Semua mereka termasuk tiga guru pembimbing iaitu S. Kalaimani, M. Ramesh dan Rosle Abd. Hamid bukan sahaja disambut meriah oleh kaum keluarga, malah rakan-rakan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan Baling.

Turut menanti kepulangan mereka di LTABL ialah Ketua UMNO Bahagian Baling yang juga Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua UMNO Bahagian Sik, Mohd. Tajudin Abdullah.

Ketiga-tiga pelajar itu memenangi pingat emas menerusi tiga projek yang dibentangkan iaitu Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Kualiti Air pada festival yang dianjurkan oleh Environment Online (ENO) bermula 12 hingga 18 April dan disertai 80 buah negara.

Dalam pada itu, Abdul Azeez berkata, bagi memastikan usaha para pelajar berkenaan dalam penjagaan alam sekitar, beliau dan Mohd. Tajudin akan menyambut Hari Alam Sekitar bagi bahagian Baling dan Sik pada bulan Jun.

'Kita tidak mahu usaha mereka ini tidak diteruskan, jadi pada sambutan Hari Alam Sekitar itu nanti, kita akan adakan gotong royong menanam pokok di kawasan terlibat.

'Pendedahan seumpama itu perlu dilakukan supaya pengetahuan yang mereka peroleh dapat dikongsi dengan rakan-rakan sekali gus menjadi contoh kepada pelajar lain,' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.



Print Friendly