[ English | B. Malaysia | Home | Sitemap | Contact Us | Login ]   
    » Home » ACTIVITIES » Press Release » UTUSAN MALAYSIA - 13/04/2009

  Tiga anak penoreh azam harumkan nama negara di Finland
 
TIGA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan, Baling (dari kiri) Som Jud a/l Muniandy, Muhamad Fazrel Ashraf Azizan dan Mohd. Khairul Effendi Che Wan sewaktu membuat persediaan terakhir sebelum berlepas ke Finland untuk menyertai Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Universiti Joensuu.  

Helsinki (Finland) 12 April - Tiga anak penoreh dari Baling yang menyertai Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar peringkat antarabangsa di Universiti Joensuu di sini berazam memberi persembahan terbaik bagi mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Mohd. Khairul Effendi Che Wan, 17; Muhamad Fazrel Ashraf Azizan, 15; dan Som Jud Muniandy, 16, juga mahu menjadikannya sebagai hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran selepas mengambil alih pucuk kepimpinan negara.

Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan, Baling, Kedah itu akan membentangkan projek bertajuk "Penanaman Pokok, Perubahan cuaca dan Pemantauan Kualiti Air".

Festival yang bermula hari ini menawarkan pingat emas kepada peserta yang banyak menyumbang dan mampu memberikan idea, inovasi terbaik dalam aktiviti alam sekitar khususnya di peringkat antarabangsa.

Ia dianjurkan oleh sebuah badan antarabangsa, Environment Online (ENO) yang mempunyai keahlian di 122 buah negara meliputi pelajar sekolah dan universiti yang banyak menumpukan kepada program alam sekitar.

Peserta negara bagaimanapun dijangka berdepan cabaran sengit peserta daripada 80 buah negara lain yang turut menyertai festival selama seminggu sehingga 18 April ini.

Mohd. Khairul Effendi berkata, dia dan dua rakannya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik buat negara khususnya kepada pemimpin nombor satu dan dua Malaysia itu.

"Kami mahu memberi persembahan terbaik sekalipun festival ini disertai negara-negara yang banyak pengalaman dalam isu seperti ini," katanya ketika ditemui di festival itu di sini.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan turut diiringi oleh tiga guru pembimbing yang diketuai S. Kalaimani dari SMK Teloi Kanan, Roslee Abd.Hamid (SK Telok Teduri, Baling) dan S. M Ramesh (SMK Batu Kawan, Pulau Pinang).

Mereka juga akan membentangkan kertas kerja melibatkan penanaman pokok bagi pembangunan mampan, pendidikan penjagaan sungai dan perkongsian maklumat serta pengalaman dalam kalangan ahli ENO.

Dalam pada itu, Kalaimani berkata, pihaknya berharap penyertaan ketiga-tiga pelajar itu mampu memberikan kesedaran kepada banyak pihak bahawa Malaysia turut terlibat dalam aktiviti penjagaan alam sekitar khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Kita mahu membuktikan kepada dunia luar bahawa Malaysia mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu alam sekitar," ujarnya.

Jelasnya lagi, meskipun tidak menetapkan sasaran anugerah oleh peserta negara, namun dia yakin penyertaan dan persembahan mereka di festival itu akan membukamata dunia terhadap penglibatan menyeluruh Malaysia dalam isu alam sekitar.



Print Friendly